KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 24 MAC 2024

24 Mar 2024

1. Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung fasa kedua Monsun Timur Laut. Semasa tempoh ini, pada kebiasaannya keadaan atmosfera cenderung lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

Sejak 21hb Mac yang lalu, Negara Brunei Darussalam telah mengalami cuaca panas melampau atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba pada waktu siang. Suhu maksimum harian yang telah direkodkan di beberapa kawasan di negara ini telah mencapai sekurang-kurangnya 35°C berturut-turut dalam 3 hari kebelakangan ini.

Pada hari ini, Ahad, 24hb Mac 2024, terdapat 7 kawasan telah merekodkan cuaca panas melampau iaitu Labi, Batang Duri, Bangar, Lekiun, Lumapas, Bandar Seri Begawan dan Anggerek Desa, manakala terdapat 5 kawasan lain telah merekodkan suhu cuaca panas luar biasa iaitu Universiti Brunei Darussalam, Pekan Tutong, Sinaut, Benutan dan Lapangan Terbang Antarabangsa.

Keadaan ini juga disebabkan oleh pengurangan aktiviti turunan hujan, yang mana setakat ini jumlah turunan hujan yang direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi bulan Mac 2024 adalah sebanyak 5.6 mm iaitu jauh di bawah jumlah normal sebanyak 143.4 mm.

2. Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Bagi minggu terakhir bulan Mac ini, cuaca Negara Brunei Darussalam masih diramalkan panas dan kering, dengan pengurangan jumlah dan aktiviti hujan. Suhu maksima harian dijangkakan boleh mencecah antara 33°C hingga 36°C.

Keadaan cuaca berjerebu juga diramalkan berlaku.

3. Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan keselamatan akan keadaan cuaca panas dan kering yang diramalkan berlaku.

Catatan suhu maksimum harian bagi kawasan-kawasan di Negara Brunei Darussalam boleh didapati melalui melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Manakala, maklumat cuaca terkini boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn dan melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX.

Wallahu a’lam Bissawab.