KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 25 NOVEMBER 2023

25 Nov 2023

1. Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung tempoh peralihan monsun, dimana sepanjang tempoh ini, kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita. Sejak awal bulan November 2023 sehingga kemarin (24hb November), Stesen Pencerapan Kajicuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sejumlah 251.6 mm. Jumlah turunan hujan tersebut telah mencapai 78 peratus jumlah turunan hujan normal bagi bulan November (1991-2020) iaitu 322.9 mm.

Berdasarkan maklumat data daripada Sistem Pemantauan Radar Cuaca Doppler Brunei Darussalam, curahan hujan lebat semalam bertumpu di keempat daerah, dan telah menyebabkan kejadian banjir dan banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir. Pada masa yang sama pertembungan kejadian air pasang telah menyebabkan situasi banjir berlaku terutama di kawasan-kawasan berhampiran tebing sungai.
Anggaran jumlah turunan hujan yang telah direkodkan bagi keempat-empat daerah pada 24 November 2023 adalah seperti berikut:

Kawasan - Anggaran Jumlah Turunan Hujan
Daerah Brunei-Muara - 27.6 mm
Daerah Temburong - 51.5 mm
Daerah Tutong - 55.1 mm
Daerah Belait - 31.7 mm


2. Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Berpandukan Model Ramalan Cuaca Berangka yang terkini bagi Negara Brunei Darussalam menunjukkan secara keseluruhannya keadaan cuaca tidak menentu akan berterusan sehingga awal pagi hari Selasa (28 November 2023).

Hujan lebat dan berpetir sekali-sekala dijangka berlaku terutama pada sebelah petang dan malam, dan boleh berlanjutan sehingga subuh. Walaubagaimanapun, intensiti turunan hujan adalah tidak sama dari satu kawasan ke satu kawasan di Negara ini dan juga dari hari ke hari. Kelajuan angin kencang boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.

Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana, antara 1.0 meter ke 1.5 meter.
3. Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Risiko pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Keadaan laut adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).
Wallahu a’lam Bissawab.