PENAFIAN MAKLUMAT ANGIN KUAT YANG AKAN MELANDA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

19 Oct 2017

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin memaklumkan bahawa maklumat keadaan cuaca berikut
yang pada masa ini menular di aplikasi Whatsapp dan media-media sosial bermula petang tadi adalah
tidak benar bagi Negara Brunei Darussalam:

"Malam ani angin di jangka sekuat 200 km akan melanda brunei, sma2 kta ne berdoa agar d jauh kan
dri segala musibah.."

Untuk makluman orang ramai, Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam Musim
Peralihan ataupun dikenali sebagai Inter-Monsoon. Pada lazimnya semasa tempoh ini aktiviti hujan dan
ribut petir meningkat, dan sekali-sekala berintensiti lebat. Angin berdekatan dengan ribut petir juga
boleh mencapai kekuatan sehingga 50-60 kmsj.

Manakala ramalan cuaca bagi Negara Brunei Darussalam pada malam ini diramalkan hujan berangin
ribut, kadangkala berpetir, dijangka sekali-sekala bergerak dari kawasan laut ke kawasan darat. Angin
bergerak dari arah Barat Daya atau Barat Laut, selaju 10-25 kmsj dan boleh meningkat sehingga 50
kmsj semasa hujan lebat.

Kami juga ingin menasihati orang awam supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar yang
disebutkan di atas melalui media-media sosial yang boleh menyebabkan keadaan resah dan panik
kepada orang ramai.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan
amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya dapat mengikuti maklumat
keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial
Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai
juga boleh menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui
Talian Cuaca 114.

Wallahualam Bissawab.

Disediakan oleh:-
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
27 Muharram 1439 / 18hb Oktober 2017
Ruj: WSD/PR/08/2017