KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM FASA KEDUA MONSUN TIMUR LAUT (FEBRUARI 2023 HINGGA MAC 2023)

06 Feb 2023

Negara Brunei Darussalam kini memasuki fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka akan berterusan sehingga bulan Mac 2023. Semasa tempoh ini, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

Secara relatif, bulan Februari dan bulan Mac dikategorikan sebagai dua bulan terkering dalam setahun dengan jumlah purata hujan terendah yang direkodkan berbanding dengan bulan-bulan lain. Berasaskan data klimatologi, jumlah purata turunan hujan bagi bulan Februari ialah 162.9 mm dan bagi bulan Mac ialah 143.4 mm.

Walaubagimanapun, berdasarkan model cuaca terkini menunjukkan bahawa pada bulan Februari ini, Negara Brunei Darussalam diramal akan masih mengalami keadaan cuaca yang aktif sekali-sekala, terutamanya pada waktu petang dan malam. Jumlah turunan hujan bagi bulan Februari diramalkan sedikit tinggi daripada jumlah purata, iaitu dengan jumlah 190-220 mm. Salah satu faktor yang menyebabkan sedikit peningkatan pada jumlah turunan hujan bagi bulan ini adalah disebabkan oleh kehadiran fenomena La Niña di Lautan Pasifik yang dijangka berterusan sehingga hujung bulan Februari atau awal bulan Mac 2023.

Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah atau perancangan yang bersesuaian yang berhubungkait dengan kemungkinan berlakunya cuaca aktif yang diramalkan berlaku
bagi memastikan keselamatan semua.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.